Sabtu, 21 April 2018

HIKAYAT SUMERLUKI

HIKAYAT SUMERLUKI

Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri di tanah Mengkasar, Meluluki namanya, Keraeng Majiko nama rajanya, terlalu besar kerajaan raja itu, segala negeri di tanah Mengkasar itu takluk kepadanya. Maka ia beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh bersaudara. Ketujuhnya dibuat isteri oleh baginda itu, akan puteri yang bongsu itu terlalu baik parasnya. Adapun puteri yang tua sekali beranak seorang lelaki, dinamai ayahandanya Semerluki.
Berapa lamanya Semerluki pun besarlah, terlalu berani, lagi dengan perkasanya tiada berbagai dalam tanah Mengkasar itu. Pada suatu hari Semerluki masuk menghadap ibunya, ia terpandang kepada emak bongsunya, maka Semerluki pun berahi hendakkan emak bongsunya itu. Maka Keraeng Majiko pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiadalah diberi oleh Keraeng Majiko, katanya pada Semerluki, "Bagaimana engkau hendakkan emak bongsumu? Kerana ia saudara emakmu, isteri kepada aku. Jikalau engkau hendak beristeri baik paras, pergilah engkau ke Ujung Tanah, di sana banyak perempuan yang seperti kehendakmu dan yang lebih daripada emak bongsumu itu".
Maka Semerluki pun berlengkaplah, dua ratus banyaknya kelengkapan pelbagai rupa perahu. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun pergilah, kasadnya hendak mengalahkan segala negeri di bawah angin ini. Pertama-tama ia pergi ke Jawa, banyak dirosakkannya jajahan Jawa, tiada berani orang mengeluari dia. Maka Semerluki pun lalu ke Siam, banyaklah teluk rantau Siam dikalahkannya, tiada juga dikeluari orang Siam. Maka lalulah ia ke laut Ujung Tanah, dirosakkannya segala teluk rantau jajahan Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, "Bahawa segala jajahan kita banyak binasa oleh raja Mengkasar yang bernama Semerluki itu”. Maka baginda pun menitahkan Laksamana pergi memairi Semerluki. Maka Laksamana pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun datanglah ke laut Melaka. Maka Laksamana pun keluarlah dengan segala kelengkapan.
Setelah bertemu lalu berperang berlanggar-langgaran, rupa panah dan sumpitan seperti hujan yang lebat. Maka banyaklah kelengkapan Mengkasar yang rosak oleh kelengkapan Melaka. Maka perahu Laksamana bertemulah dengan perahu Semerluki. Maka oleh Semerluki disuruhnya carupaki sauh terbang ke perahu Laksamana, lekat maka disuruhnya putar, maka oleh Laksamana disuruhnya tetas, sambil bertikam. Maka kelengkapan Semerluki pun banyaklah kalah oleh kelengkapan Laksamana, tetapi orang Melaka banyak mati oleh sumpitan, kerana pada masa itu orang Melaka belum lagi tahu akan tawar ipuh. Maka Semerluki pun undur lalu ke Pasai, segala jajahan Pasai banyak diperbinasakannya. Maka raja Pasai pun menitahkan Raja Kenayatn mengeluari Semerluki maka Orang Kaya Raja Kenayatn pun berlengkap.
Setelah sudah lengkap maka Orang Kaya Raja Kenayatn pun keluarlah. Setelah bertemu dengan Semerluki di Teluk Nerli maka berperanglah kelengkapan Mengkasar dengan kelengkapan Pasai. Maka Semerluki pun bertemu dengan perahu Raja Kenayatn, maka oleh Semerluki disuruhnya carupaki sauh terbang ke perahu Raja Kenayatn, lekat disuruhnya putar. Maka kata Raja Kenayatn, "Putarlah olehmu, jika dekat sekarang nescaya ku amuk dengan jenawi bertumit ini”. Maka segera disuruh tetas oleh Semerluki, lalu ditetas oranglah dan bercerailah perahu keduanya itu. Maka kata Semerluki, "Berani Raja Kenayatn daripada Laksamana”. Maka Semerluki pun kembali, lalu dari laut Melaka, maka diperikut oleh Laksamana, barang yang terpencil habis dikalahkannya. Maka Semerluki pun datanglah ke laut Ungaran, banyaklah kelengkapannya rosak oleh Laksamana. Maka oleh Semerluki diambilnya suatu batu tolak baranya, dicarupakkannya di Selat Ungaran itu, maka kata Semerluki, "Timbul batu ini, maka aku datang ke laut Ujung Tanah”.
Maka pada tempat itu dinamai orang, Tanjung Batu, ada lagi batunya datang sekarang. Maka Semerluki pun kembalilah ke Mengkasar, dan Laksamana pun kembalilah ke Melaka menghadap Sultan Mansur Syah. Maka akan Laksamana dipersalinkan baginda, dan dianugerahi baginda akan segala orang yang pergi itu, masing-masing pada kadarnya.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

SUNGKUI THE TRADITIONAL CULINARY OF SANGGAU

Sungkui is a traditional Sanggau food made of rice wrapped in Keririt leaves so that it is oval and thin and elongated. Sungkui is a typical...